Deneme bonusuDeneme bonusu veren siteler

GUNA PELITUP MUKA YANG DILULUSKAN SECARA BETUL KETIKA JEREBU

GUNA PELITUP MUKA YANG DILULUSKAN SECARA BETUL KETIKA JEREBU


Orang ramai terutamanya para pekerja dinasihatkan untuk menggunakan alat perlindungan pernafasan pakai buang seperti pelitup muka jenis N95 yang diluluskan jika perlu melakukan aktiviti atau pekerjaan di kawasan terbuka ketika cuaca berjerebu.

Antara label yang perlu dilihat ketika memilih pelitup muka jenis N95 adalah “DOSH-SIRIM’ yang merujuk kepada kelulusan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Department of Occupational Safety and Health) dan “CE” yang menunjukkan pelitup muka tersebut mematuhi standard yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah.

Pelitup muka jenis N95 yang diluluskan pihak berkuasa ini berkesan menapis 95 peratus partikel halus bersaiz 0.3 mikron (1 mikron bersamaan dengan 0.001 milimeter) dalam udara seperti jerebu, sekali gus mengurangkan risiko kesihatan terutama masalah pernafasan.

Secara umumnya, semua alat perlindungan pernafasan jenis pakai buang digunakan untuk melindungi hidung dan mulut daripada menyedut masuk partikel halus seperti habuk jerebu yang berada di udara. Namun, terdapat perbezaan dari sudut keberkesanan di antara pelitup muka jenis N95 dengan pelitup muka jenis tiga lapis (three-ply face mask) yang mudah diperolehi ketika ini.

Berdasarkan kajian yang dibuat di makmal-makmal berkaitan pelitup muka di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) di Bandar Baru Bangi, pelitup muka jenis tiga-lapis kurang berkesan menapis partikel halus kerana tidak terletak kemas pada muka seseorang pemakai. Analisis yang dijalankan menunjukkan terdapat ruang terbuka di sekitar bahagian hidung, muka dan dagu yang membolehkan habuk jerebu masuk ke dalam sistem pernafasan.

Kajian tersebut turut menunjukkan pelitup muka jenis tiga-lapis tidak berkesan untuk menghalang kemasukan partikel berukuran 2.5 mikron ke bawah dan sifatnya yang mudah basah pula meningkatkan risiko mendapat jangkitan.

Oleh kerana itu, NIOSH tidak menyarankan penggunaan pelitup muka jenis tiga-lapis untuk melindungi pekerja dan orang ramai daripada bahaya jerebu. Pada masa yang sama, pihak NIOSH ingin menasihati orang ramai menggunakan pelitup muka jenis N95 secara betul dengan memastikan tiada ruang yang membolehkan habuk jerebu terlepas masuk ke dalam sistem pernafasan.

Perlu diingatkan, jerebu bukan sahaja mengganggu penglihatan tetapi boleh mendatangkan masalah kesihatan terutama kepada golongan yang berisiko tinggi seperti individu yang mempunyai masalah jantung dan pernafasan.

Menurut jadual yang disediakan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara adalah baik manakala bacaan 51-100 pula menunjukkan kualiti sederhana, 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan IPU melebihi 300 (berbahaya)

IPU diperolehi daripada pengukuran habuk yang halus (10 mikron ke bawah) dan beberapa jenis gas yang boleh menjejaskan kesihatan iaitu karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon. IPU digunakan sebagai panduan untuk mengetahui kualiti udara dan kesannya terhadap kesihatan.

-Kekal Sihat Semasa Jerebu-


Category: