Deneme bonusuDeneme bonusu veren siteler

NIOSH & KPM Berganding Bahu Demi Sekolah Selamat

NIOSH & KPM Berganding Bahu Demi Sekolah Selamat

PUTRAJAYA, November 2025 – Seiring dengan inisiatif Kerajaan MADANI untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di sekolah, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memulakan kerjasama strategik bagi menjadikan sekolah berasrama penuh (SBP) sebagai projek perintis (pilot project) program tersebut.

Pertemuan antara Pengarah Eksekutif NIOSH, Dato’ Haji Ayop bin Salleh, dan Menteri Pendidikan YB. Fadhlina Sidek di Putrajaya pada 2 Oktober lepas telah menjadi titik tolak kepada pelaksanaan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Program ini dirangka untuk memperkukuh aspek KKP di peringkat sekolah menerusi pelbagai inisiatif yang diselaraskan bersama pihak KPM.

Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk penganjuran latihan KKP kepada pentadbir sekolah, penambahbaikan Manual Sekolah Selamat agar selaras dengan piawaian terkini serta pelaksanaan audit keselamatan sekolah di seluruh negara.

Kini, pasukan NIOSH di seluruh negara sedang giat menjalankan siri lawatan penanda aras KKP di 72 SBP seluruh Malaysia, termasuk di Sabah dan Sarawak. Seramai 100 penilai NIOSH terlibat dalam pelaksanaan program yang dijadualkan berlangsung sehingga Januari 2026.

Melalui program ini, NIOSH akan menyediakan laporan komprehensif kepada KPM bagi tujuan penambahbaikan serta memberikan khidmat rundingan berkaitan pelaksanaan KKP di SBP yang menjadi projek perintis bagi inisiatif ini.

Program KKP SBP ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan warga sekolah tentang KKP, memperkukuh keupayaan jawatankuasa bencana sekolah dalam penilaian risiko, menyeragamkan garis panduan serta dokumen KKP dan melaksanakan penilaian serta latihan bagi mempertingkat keberkesanan pelaksanaannya di sekolah.

Program ini dilaksanakan dalam empat fasa bermula Oktober 2025 hingga Januari 2026, merangkumi lawatan penanda aras dan bengkel KKP di SBP, penyediaan serta pembentangan laporan dapatan kepada KPM, latihan pengukuhan kepada Jawatankuasa Bencana Sekolah dan diakhiri dengan lawatan penilaian pencapaian bagi menilai keberkesanan pelaksanaan program.

Menurut Dato’ Haji Ayop, kerjasama ini mencerminkan komitmen NIOSH dan KPM untuk mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih selamat bagi generasi muda.

“Melalui kerjasama ini, NIOSH bukan sahaja menjadi penyedia latihan tetapi juga rakan strategik utama KPM dalam memperkukuh sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan di sekolah. Sekolah perlu menjadi tempat yang paling selamat untuk anak-anak belajar dan membesar,” katanya.

Kerjasama antara NIOSH dan KPM ini disokong oleh Bahagian Pengurusan SBP, yang telah mengadakan kunjungan kerja ke Ibu Pejabat NIOSH di Bangi bagi memperincikan pelaksanaan inisiatif ini serta meninjau kemudahan latihan dan makmal NIOSH.

Program ini seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI, yang menekankan kesejahteraan dan keselamatan komuniti pendidikan melalui pendekatan berasaskan ilmu, tanggungjawab serta nilai kemanusiaan sejagat.