
MALAYSIA PACU KECEMERLANGAN KKP SERANTAU MENERUSI “ASEAN OSH SUMMIT 2025”
Kuala Lumpur, 26 Ogos 2025 – Persidangan bertaraf antarabangsa”ASEAN Safety and Health Workers Summit 2025″ (ASEAN OSH Summit 2025) anjuran Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) awal bulan ini berjaya meninggalkan impak besar kepada lebih 2,000 peserta dan ribuan pengunjung pameran yang hadir dari dalam dan luar negara.
Upacara peluncuran penuh gemilang telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Abdul Rahman bin Mohamad, Timbalan Menteri Sumber Manusia, yang juga merupakan Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH), di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KL Convex) pada 4 Ogos 2025.
Selama dua hari, sidang kemuncak ini menghimpunkan para pakar keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP), penggubal dasar, pengamal industri serta wakil-wakil antarabangsa untuk membincangkan isu dan cabaran masa depan berkaitan KKP.
Dengan tema “Inclusivity and Sustainability for a Resilient Workforce”, program ini berjaya mengangkat KKP sebagai agenda serantau yang berlandaskan inovasi, keterangkuman dan kelestarian.
Antara pencapaian bersejarah ialah pengumpulan lebih 200,000 ikrar KKP yang diiktiraf sebagai satu pencapaian baharu “Guinness World Records”. Selain itu, empat Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai di antara NIOSH dan rakan strategik tempatan dan antarabangsa iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), “Malaysian Sustainable Palm Oil” (MSPO), “Deli Husada Deli Tua Health Institute” dari Indonesia serta “Statistical, Economic and Social Research and Training Centre for Islamic Countries” (SESRIC) dari Turkiye.
Tiga program utama – Persidangan dan Pameran KKP (COSH) 2025, “NIOSH International Standards Seminar” (NISS 2025) dan Bengkel MaRINA 3.0 – menjadi wadah penting untuk membincangkan isu-isu kritikal seperti kesihatan mental, transformasi digital, teknologi AI dalam KKP, serta hala tuju penyelidikan serantau.
Pada masa yang sama, pameran yang menampilkan lebih 60 reruai daripada syarikat tempatan, antarabangsa dan agensi kerajaan turut menarik ribuan pengunjung sepanjang dua hari ia berlangsung.
Sebagai kesinambungan sidang kemuncak tersebut, delegasi antarabangsa diberi peluang mengikuti Lawatan Teknikal ke beberapa lokasi utama di Malaysia. Antara destinasi yang dilawati ialah tapak pembinaan Ombak Mall dan Depot MRT Sungai Buloh.
Anggota delegasi antarabangsa tersebut turut dibawa melawat Ibu Pejabat NIOSH di Bandar Baru Bangi bagi menyaksikan sendiri kemudahan makmal bertaraf antarabangsa, teknologi latihan maya (VR), serta perasmian Pejabat Perhubungan (Liaison Office) “Asian Occupational Safety and Health Research Institute” (AOSHRI).
Mereka turut melawat Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak di Melaka serta Ibu Pejabat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) di Putrajaya untuk melihat pelbagai inisiatif dan program yang dijalankan bagi menjaga kebajikan pekerja di Malaysia.
Lawatan tersebut bukan sahaja berjaya memperkukuh kefahaman peserta mengenai amalan terbaik KKP di Malaysia, tetapi juga mengeratkan kerjasama serantau dalam perkongsian ilmu dan penyelidikan.
Penganjuran ASEAN OSH Summit 2025 membuktikan kesungguhan Malaysia, di bawah kepimpinan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kerajaan Malaysia MADANI, untuk memacu agenda KKP di peringkat serantau.
Malaysia kini berada di landasan kukuh sebagai hab latihan dan penyelidikan KKP Asia melalui inisiatif yang diterajui KESUMA dan NIOSH, yang mempunyai kemudahan latihan yang moden, 13 makmal bertaraf antarabangsa serta rangkaian kolaborasi di peringkat serantau dan global seperti seperti ILO, SESRIC, AOSHRI dan APOSHO,
YBhg. Dato’ Haji Ayop Haji Salleh, dalam ucapan penutup ASEAN OSH Summit 2025 menyeru supaya semua pihak yang berkepentingan agar
memperkukuh kerjasama, solidariti dan inovasi di bawah kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 demi mewujudkan tempat kerja yang lebih selamat dan sihat untuk semua.



